MAKTAB   PERGURUAN   TAWAU
[ Tawau Teacher's Training College ]

Environment News Buildings Minister Speech Useful Sites
 

(Disampaikan oleh Y.B. Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan,

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar)

Bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurniaNya dapatlah kita berkumpul pada hari yang penuh bersejarah bagi warga Kementerian Pelajaran Malaysia dan juga negeri Sabah.

Saya mengambil keselamatan ini mengalu-alukan kehadiran Yang Berbahagia Tan Sri Hj. Abdul Rafie b. Mahat, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia serta rombongan ke negeri Sabah di Bawah Bayu khasnya ke Tawau. Bagi pihak Kerajaan negeri, saya juga ingin meramkan ucapan penghargaan dan amat berbesar hati atas kesudian Tan Sri menerima undangan majlis makan tengahari yang dianjurkan oleh Jabatan Ketua Menteri Sabah. Sesungguhnya kehadiran Tan Sri dan rombongan menyerikan lagi majlis yang bermakna ini.

Saya juga menyampaikan salam takzim dan kemaafan daripada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Musa Hj. Aman, Ketua Menteri Sabah yang tidak dapat bersama kita Bagaimanapun, YAB telah mengamanahkan saya untuk menyampaikan ucapan beliau. Dengan itu, izinkanlah saya menyampaikan ucapan YAB. Ketua Menteri seperti berikut:

Sesungguhnya jamuan makan tengahari yang diadakan ini melambangkan pemuafakatan yang sedia terjalin antara Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah. Majlis yang telah berlangsung pada pagi ini di kampus Maktab Perguruan Tawau yang memberi makna yang cukup besar kepada kemajuan pendidikan di negeri Sabah selaras dengan halatuju Kerajaan negeri yang amat komited dalam meningkatkan mutu Pendidikan di negeri ini. Majlis penerimaan kumpulan pertama pelajar-pelajar Maktab Perguruan Tawau yang telah berlangsung pada hari ini menjadi satu lipatan sejarah yang akan dikenang oleh semua pihak di negeri Sabah khususnya masyarakat di kawasan Tawau.

Kewujudan Maktab Perguruan Tawau yang terkini, terbesar dan juga tercanggih diharap akan dapat meningkatkan dan menjadi pemangkin dalam mengukuhkan komitmen yang telah sedia wujud pada Kerajaan negeri dan warga pendidik serta rakyat negeri Sabah. Tidak dapat dinafikan bahawa rakyat Sabah khasnya masyarakat di kawasan Tawau akan menikmati faedah dan kebaikan secara langsung atau tidak langsung dengan kewujudan komplek pengajian yang serba lengkap dan canggih.

Walaupun perpindahan Maktab Perguruan Sandakan ke Tawau dan diberi nama Maktab Perguruan Tawau meninggalkan kesan dan nostalgia kepada penduduk Sandakan, namun jika dilihat dalam perspektif yang lebih luas ia akan membawa perubahan positif dalam pembangunan Pendidikan guru di Malaysia. Dengan adanya kemudahan-kemudahan yang terkini dan moden, maka lebih ramailah guru terlatih dan berkemahiran akan dapat dilahirkan.

Dalam konteks dunia pendidikan di negara ini juga, Kementerian Pelajaran Malaysia amat bertuah kerana mempunyai seorang Ketua Pengarah yang amat prihatin dan komited dalam memperkasakan sistem Pendidikan di Malaysia hingga mencapai taraf dunia. Terlalu banyak sumbangan dan bakti yang beliau curahkan kepada dunia Pendidikan di Malaysia. Salah satu daripadanya ialah Program Pensiangan Salinatan. Segalanya bermula di kawasan pedalaman negeri Sabah dan sekarang ianya diperkembangkan di seluruh pelusuk tanah air. Usaha Yang Berbahagia Tan Sri untuk merapatkan jurang di antara sekolah-sekolah di kawasan pedalaman, di ulu sungai dan di pulau merupakan satu usaha yang murni dan amat disanjungi. Sesungguhnya Kerajaan negeri Sabah amat berbesar hati dengan komitmen dan daya usaha serta tenaga yang telah dicurahkan. Pihak kami akan sentiasa memberi sokongan terhadap apa sahaja usaha untuk meningkatkan mutu Pendidikan Negara dan negeri Sabah khasnya.

Keprihatinan dan komitmen yang ditunjukkan oleh Tan Sri amat bermakna kepada penduduk Sabah. Kata-kata hikmat yang dilahirkan Yang Berbahagia seperti ‘Pay attention’ telah menjadi pegangan dan panduan kaum pendidik di Sabah. Menjelang persaraan Yang Berbahagia Tan Sri pada 31 Disember ini, tidak salah jika saya menyatakan "You have done excellent work. Well done Tan Sri". Sememangnya segala jasa dan budi akan kekal abadi dalam ingatan setiap penduduk negeri Sabah.

Pada kesempatan ini juga saya menyampaikan ucapan tahniah atas pelantikan Yang Berbahagia Tan Sri sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran bermula 8 Januari 2005.

Akhir kata adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri Sabah agar permuafakatan yang sedia terjalin akan dapat diteruskan dan diperkukuhkan ikatannya.

Kerajaan Negeri sesungguhnya amat serius dalam usaha membangun dan memajukan sumber manusia negeri ini agar kita dapat melahirkan sumber manusia berkualiti yang dapat membantu menjayakan cita-cita membawa Sabah dan Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Oleh yang demikian, kita berharap agar berdaya belajar untuk sepanjang hayat akan menjadi sebahagian dari budaya rakyat di negeri ini khususnya. Selamat menjamu selera.

Sekian. Terima kasih.


INDEX : Tawau Teacher College  August 13, 2014 02:05:31 PM

hits counter